"Dituliskan (ditetapkan) bagi kamu berperang, walaupun ia adalah
kebencian bagi kamu, dan mungkin kamu benci sesuatu yang lebih baik bagi
kamu, dan mungkin kamu suka sesuatu yang lebih buruk bagi kamu; Allah
tahu, dan kamu tidak tahu" (2:216).
Membunuh beramai-ramai dalam peperangan boleh jadi
suatu kebaikan bagi manusia walaupun mereka tidak suka. Lain dengan mereka
yang menyukainya, kerana ingin mati syahid, peperangan mungkin jadi suatu
keburukan bagi mereka pula.
Perang dalam Islam ditetapkan Allah, dan
berlandaskan di jalan-Nya, ke atas orang-orang yang memerangi. Ketetapan
tersebut terkandung di dalam al-Qur'an berbunyi,
"Dan
berperanglah di jalan Allah terhadap orang-orang yang memerangi kamu,
dan janganlah kamu mencabuli; sesungguhnya Allah tidak
suka orang-orang yang mencabul." (2:190)
Turut diingatkan kepada mereka yang berperang
supaya tidak
mencabuli segala yang ditetapkan Allah, seperti pada dasarnya, iaitu berperang
untuk hapuskan orang-orang yang memerangi.
Pembunuhan ditetapkan
Ditetapkan juga orang-orang yang akan
menemui kematian melalui pembunuhan dalam perang. Walaupun berada di rumah,
mereka akan tetap keluar berperang dan kemudian dibunuh. Firman-Nya,
"Katakanlah, 'Sekiranya kamu berada
di dalam rumah-rumah kamu, orang-orang yang kepadanya pembunuhan telah
dituliskan, akan pergi juga sampai di tempat tidur mereka yang terakhir'" (3:154).
Ujian
Umat diuji dengan perang, terhadap apa yang
terkandung di dalam hati mereka. Dengannya pun Allah menguji sebahagian manusia dengan sebahagian lain.
Dua ayat berikut menjelaskan:
"dan supaya Allah uji apa yang di dalam
dada kamu, dan supaya Dia buktikan apa yang di dalam hati kamu; dan Allah
tahu apa yang di dalam dada." (3:154)
"Demikianlah, dan jika Allah kehendaki,
tentu Dia Sendiri akan menolong mereka; tetapi supaya Dia uji sebahagian
kamu dengan sebahagian yang lain." (47:4)
Gesa
Beban perang adalah ke atas setiap
mukmin, dan mereka digesa untuk pergi berperang sambil berdoa semoga Allah menahan
kekuatan orang-orang tidak percaya. Firman-Nya,
"Maka
berperanglah kamu di jalan Allah; kamu tidak dibebani kecuali dengan
diri
kamu sendiri. Dan gesalah orang-orang mukmin, mudah-mudahan Allah akan
tahan kekuatan orang-orang yang tidak percaya, dan Allah adalah lebih
kuat dalam
kekuatan, lebih keras dalam hukuman." (4:84)
Nabi turut disuruh Allah menggesa
orang-orang mukmin. Mereka harus sabar, kerana kumpulan yang sedikit mampu
kalahkan kumpulan sepuluh kali ganda
lebih ramai. Demikian dijelaskan oleh ayat al-Qur'an bermaksud,
"Wahai Nabi, gesalah
orang-orang mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh antara kamu,
orang-orang yang sabar, mereka akan kalahkan dua ratus; jika ada antara kamu
seratus, mereka akan kalahkan seribu orang yang tidak percaya, kerana mereka
adalah kaum yang tidak faham." (8:65)
Apabila terdapat kelemahan di kalangan orang-orang
mukmin mereka hanya dapat kalahkan musuh dua kali ganda lebih ramai.
Maksud firman Tuhan,
"Sekarang Allah meringankan untuk kamu, dengan
mengetahui
bahawa pada kamu ada kelemahan. Jika ada seratus antara kamu, orang-orang yang
sabar, mereka akan kalahkan dua ratus; jika ada antara kamu seribu, mereka
akan kalahkan dua ribu, dengan izin Allah; Allah berserta orang-orang yang
sabar." (8:66)
Apapun, musuh tetap dikalahkan dengan syarat
orang-orang mukmin sabar.
Bukan sahaja menggesa orang-orang mukmin untuk berperang, malah, Nabi sendiri
seiring
turun padang melawan orang-orang yang memerangi. Ramai antara para Nabi telah
berperang, dan orang-orang yang bersama mereka tidak jadi lemah atas apa yang
menimpa mereka di jalan Allah. Firman-Nya,
"Dan berapa
ramainya Nabi yang bersamanya ramai telah berperang, dan mereka yang
ber-Pemelihara tidak jadi lemah kerana apa yang menimpa mereka di jalan
Allah, dan tidak lemah, dan tidak juga tunduk; dan Allah suka orang-orang
yang sabar." (3:146)
Takut
Antara yang diseru terdapat mereka yang takut pergi berperang
dan mohon ditangguhkan. Kepada mereka
diingatkan supaya bertakwa (takut kepada Tuhan) dan bahawa akhirat lebih baik
daripada kesenangan dunia yang sedikit. Firman-Nya,
"Kemudian sejurus setelah perang dituliskan bagi mereka, ada segolongan
daripada mereka takut pada manusia seperti mereka akan takut kepada Allah, atau
dengan lebih takut, dan mereka berkata, 'Wahai Pemelihara kami, mengapakah
Engkau tuliskan perang untuk kami? Mengapa tidak Engkau tangguhkan
kami ke suatu tempoh yang dekat?' Katakanlah, 'Kesenangan dunia ini sedikit, dan
akhirat adalah lebih baik bagi orang yang takwa, dan kamu tidak akan dizalimi
sedikit pun.'" (4:77)
Mereka itu orang-orang yang tidak percaya dan tidak
bertakwa kepada Allah.
Di kalangan orang-orang yang percaya pun ada yang
takut, kerana di dalam hati ada penyakit, seperti ragu-ragu. Firman-Nya,
"Orang-orang yang
percaya berkata, 'Mengapa satu surah tidak diturunkan?' Kemudian, apabila satu
surah yang jelas diturunkan, dan di dalamnya perang disebut, kamu lihat
orang-orang di dalam hati mereka ada penyakit memandang kepada kamu dengan
pandangan seorang yang ditutupi dengan kematian padanya;" (47:20)
Mereka tidak patut jadi begitu. Yang patut bagi
mereka - "Ketaatan,
dan ucapan yang baik" (47:21).
Orang-orang munafik pula beri alasan
dengan mengatakan
tidak tahu bagaimana hendak berperang. Demikian dijelaskan oleh ayat berikut,
"Dan
supaya Dia tahu orang-orang munafik apabila dikatakan kepada mereka,
'Marilah berperang di jalan Allah, atau menangkislah.' Mereka berkata,
'Sekiranya
kami tahu bagaimana hendak berperang, tentu kami ikuti kamu.'"
(3:167)
Berpaling
Golongan yang dikecualikan daripada ambil
bahagian dalam peperangan
didapati sedikit. Mereka disebut di dalam ayat berbunyi,
"Tidak salah ke atas orang
buta,
dan tidak salah ke atas orang cacat, dan tidak salah ke
atas orang sakit. Dan sesiapa mentaati Allah dan rasul-Nya,
Dia akan masukkannya ke taman-taman yang di bawahnya
mengalir sungai-sungai; tetapi sesiapa berpaling, dialah yang
Dia akan azab dengan azab yang pedih." (48:17)
Oleh itu kaum perempuan, kanak-kanak, dan orang-orang tua, turut ambil
bahagian dalam peperangan, mungkin dengan tidak memegang senjata tetapi sebagai
kumpulan sokongan.
Selain daripada
mereka, sekumpulan orang-orang mukmin
harus tinggal di belakang untuk menjadi arif dalam agama supaya dapat
beri amaran kepada kaum mereka apabila mereka pulang dari medan
peperangan.
Firman-Nya,
"Tidak patut bagi orang-orang mukmin
pergi kesemuanya; tetapi mengapa sekumpulan daripada tiap-tiap golongan antara
mereka tidak pergi untuk menjadi arif dalam agama, dan untuk beri amaran
kepada kaum mereka apabila mereka kembali kepada mereka, supaya mereka
berawas-awas?" (9:122)
Bagi orang-orang yang berpaling daripada peperangan pula, mereka akan diazab
Allah dengan azab yang pedih.
Diperangi
Telah ditetapkan oleh Allah orang-orang yang diperangi. Antara mereka,
golongan tidak percaya kepada-Nya, jadi sebutan pertama di sini:
"Orang-orang
yang percaya berperang di jalan Allah, dan
orang-orang yang tidak percaya berperang di jalan Thagut. Maka
perangilah wali-wali (sahabat-sahabat) syaitan; sesungguhnya muslihat
syaitan lemah." (4:76)
Orang-orang tidak percaya berperang di jalan
Thagut, iaitu suatu yang dihalakan dalam kepercayaan, bukan Allah. Mereka adalah sahabat-sahabat syaitan dengan
muslihat amat lemah, dan patut diperangi, bermula dengan yang dekat. Firman-Nya,
"Wahai orang-orang
yang percaya, perangilah orang-orang yang tidak percaya yang dekat dengan
kamu, dan hendaklah mereka dapati pada kamu ketegasan; dan ketahuilah bahawa
Allah berserta orang-orang yang takwa." (9:123)
Allah menolong orang-orang yang takwa, atau
takut kepada-Nya. Selanjutnya, Dia mengatakan bahawa orang-orang tidak percaya
akan lari dari medan peperangan. Maksud kata-kata-Nya:
"Jika orang-orang yang tidak percaya memerangi kamu, tentu
mereka berpaling ke belakang, dan kemudian dapati tiada wali (pelindung), dan
tiada juga penolong." (48:22)
Akan tetapi keadaan tidak jadi begitu pada hari ini, kerana yang memerangi mereka
disyaki
orang-orang yang tidak bertakwa.
Orang-orang sekutukan Allah, yang memerangi,
jadi golongan ketiga diperangi. Firman-Nya,
"Dan perangilah orang-orang
yang menyekutukan kesemuanya sebagaimana mereka memerangi kamu
kesemuanya; dan ketahuilah bahawa Allah berserta orang-orang yang takwa." (9:36)
Lagi disebut bahawa Allah akan menolong orang-orang yang takwa.
Seterusnya, golongan ketiga diperangi ialah orang-orang munafik dan mereka
yang di dalam hati ada penyakit, dan lain,
yang tidak berhenti buat kegemparan di kota. Firman-Nya,
"Sungguh, jika
orang-orang munafik tidak berhenti, dan orang-orang di dalam hati mereka
ada penyakit, dan mereka yang buat kegemparan di kota, pasti Kami akan
mendesak kamu untuk menyerang mereka, kemudian tidaklah mereka jadi jiran
kamu di situ, kecuali sedikit.
Mereka
dilaknat, dan di mana sahaja mereka dijumpai, mereka diambil dan dibunuh, dibunuh.
Sunnah
(resam) Allah pada orang-orang yang telah berlalu sebelum kamu; dan kamu akan
dapati tiada pertukaran pada sunnah Allah." (33:60-62)
Justeru, kejahatan tersebut dianggap seperti memerangi orang
lain. serang orang-orang yang
lakukannya adalah sunnah Allah dari zaman purba hingga ke zaman
sekarang, dengan tidak berubah.
Orang-orang munafik ingin jadikan
orang-orang lain percaya sebagaimana mereka percaya. Mereka dibunuh, tidak dijadikan
sahabat, dan tidak dijadikan penolong. Firman-Nya,
"Mereka (orang munafik) beringinkan kamu jadi tidak percaya, sebagaimana
mereka tidak percaya, dan kemudian kamu jadi sama dengan mereka; maka
janganlah ambil untuk kamu wali-wali (sahabat-sahabat) daripada mereka,
sehingga mereka hijrah di jalan Allah. Kemudian, jika mereka berpaling,
ambillah mereka, dan bunuhlah mereka di mana sahaja kamu dapati
mereka, dan janganlah ambil untuk kamu sesiapa daripada mereka sebagai wali
atau penolong," (4:89)
Golongan keempat ialah orang-orang diberi
al-Kitab, yang tidak mengharamkan apa yang sudah ditetapkan sebagai haram serta
tidak beragama dengan agama yang benar. Firman-Nya,
"Perangilah
orang-orang yang tidak percayai Allah dan Hari Akhir, dan tidak mengharamkan
apa yang Allah dan rasul-Nya haramkan, dan mereka tidak beragama dengan
agama yang benar, daripada orang-orang yang diberi al-Kitab, sehingga mereka
memberi ufti daripada tangan, dan mereka direndahkan." (9:29)
Mereka diperangi dalam peperangan (menurut konteks
ayat), sampai mereka kalah dan bayar ufti.
Sekumpulan lagi dalam golongan orang-orang diberi al-Kitab yang
diperangi adalah orang-orang mukmin. Mereka yang diperangi terdiri daripada yang
angkuh dalam pergaduhan (peperangan) sesama sendiri, menurut ketetapan Allah
berbunyi,
"Jika dua golongan
orang-orang mukmin berperang (atau berperang), betulkanlah antara mereka; kemudian, jika
satu daripada mereka angkuh terhadap yang lain, perangilah yang angkuh,
sehingga mereka kembali kepada perintah Allah. Jika ia kembali maka betulkanlah
antara mereka dengan adil, dan berlakuadillah. Sesungguhnya Allah suka
orang-orang yang adil." (49:9)
Perkataan bergaduh, sepertimana
bunuh dan
perang, terbit daripada akar yang serupa, maka ia boleh diertikan sebagai
berperang juga. (Sila lihat kalimat
Bunuh.
Terima kasih.)
Sebab
Sebab berperang selanjutnya ialah melawan orang-orang yang memerangi Allah dan rasul-Nya, dan yang berusaha di bumi untuk
buat kerosakan. Firman Tuhan,
"Sesungguhnya balasan ke atas orang-orang
yang memerangi Allah dan rasul-Nya, dan yang berusaha di bumi untuk buat
kerosakan - mereka dibunuh, atau disalib, atau tangan-tangan mereka dan
kaki-kaki mereka dipotong berselang-seli, atau mereka dibuang daripada bumi.
Itulah suatu kerendahan bagi mereka di dunia; dan di akhirat, bagi mereka azab
yang besar." (5:33)
Mereka direndahkan di dunia di tangan orang-orang mukmin, dan di akhirat
mereka akan menerima azab yang besar.
Berjuang untuk hapuskan penganiayaan
terhadap kebebasan mengamalkan agama Allah jadi satu lagi sebab untuk berperang.
Penganiayaan dilakukan oleh orang-orang tidak percaya. Selagi penganiayaan wujud
dan agama tidak untuk Allah sepenuhnya, selagi itu, perang diteruskan. Firman-Nya,
"Perangilah
mereka (orang-orang tidak percaya) sehingga tidak ada lagi penganiayaan, dan agama semuanya untuk Allah;
kemudian jika mereka berhenti, maka sesungguhnya Allah lihat apa mereka
buat." (8:39)
Orang-orang tidak percaya seterusnya
didapati menghalang jalan Allah, dan
tidak percaya kepada-Nya dan Masjidil Haram, serta mengusir keluar penduduknya.
Mereka berperang untuk memalingkan agama orang-orang mukmin,
dan tidak akan berhenti memerangi
selagi boleh. Ayat berikut jelaskannya:
"tetapi untuk menghalang jalan Allah, dan tidak percaya
kepada-Nya, dan Masjidil Haram, dan mengusir penduduknya daripadanya, adalah
lebih berat pada pandangan Allah; dan penganiayaan (fitnah) adalah lebih berat
daripada pembunuhan. Mereka tidak akan berhenti memerangi kamu hingga mereka
palingkan kamu daripada agama kamu, jika mereka boleh." (2:217)
Terhadap orang-orang tidak percaya yang mengusir penduduk, atau lakukan
penganiayaan, mereka dibunuh di mana sahaja dijumpai kecuali di Masjidil Haram,
dan diusir daripada tempat orang-orang yang mereka usir. Firman Tuhan,
"Dan bunuhlah mereka di mana sahaja kamu jumpa mereka, dan
usirlah mereka dari mana sahaja mereka mengusir kamu; penganiayaan (fitnah)
adalah lebih besar daripada pembunuhan, dan janganlah memerangi mereka di
Masjidil Haram sehingga mereka memerangi kamu di dalamnya.
Kemudian, jika mereka memerangi kamu, bunuhlah mereka. Itulah balasan ke
atas orang-orang yang tidak percaya." (2:191)
Mungkiri sumpah dan perjanjian, dan membidas agama serta mengusir rasul
yang dilakukan oleh orang-orang sekutukan Tuhan, yang sekali gus jadi
orang-orang tidak percaya (kafir) turut jadi sebab berperang. Firman-Nya,
"Tetapi jika mereka (orang-orang yang menyekutukan) mungkiri sumpah-sumpah mereka setelah perjanjian mereka, dan membidas agama
kamu, maka perangilah imam-imam (ketua-ketua) orang-orang yang tidak
percaya; bagi mereka tidak ada sumpah, supaya mereka berhenti.
Tidakkah kamu akan memerangi kaum yang mungkiri sumpah-sumpah mereka, dan bermaksud untuk
mengusir rasul, memulakan pada kali pertama terhadap kamu? Adakah kamu takut
pada mereka? Adalah lebih baik bagi kamu untuk menakuti Allah, jika kamu
orang-orang mukmin.
Perangilah
mereka, dan Allah akan azab mereka di tangan kamu, dan aibkan mereka,
dan Dia akan menolong kamu terhadap mereka, dan datangkan penyembuhan bagi
dada kaum yang mukmin." (9:12-14)
Mereka tidak harus ditakuti. Allah mengazab mereka di tangan orang-orang
mukmin yang diberi pertolongan-Nya.
Kezaliman yang dilakukan di muka bumi jadi satu
lagi sebab
untuk berperang. Orang-orang yang dizalimi diizinkan Allah berperang melawan orang-orang
yang menzalimi mereka. Perang di jalan Allah juga atas kezaliman dilakukan
ke atas orang-orang lain. Dua ayat Allah menjelaskan:
"Diizinkan kepada
orang-orang yang memerangi kerana mereka dizalimi; sesungguhnya Allah
berkuasa untuk menolong mereka," (22:39)
"Bagaimanakah dengan kamu, bahawa kamu tidak mahu berperang
di jalan Allah untuk lelaki-lelaki, dan perempuan-perempuan, dan kanak-kanak,
yang dihinakan, yang berkata, "Wahai Pemelihara kami, keluarkanlah kami daripada
bandaraya ini yang penduduknya zalim, dan lantikkanlah bagi kami seorang wali
(pelindung) daripada sisi Engkau, dan lantikkanlah bagi kami, daripada sisi
Engkau, seorang penolong.'" (4:75)
Pukul
Di samping beri sebab-sebab untuk berperang, Allah ajar di mana musuh
harus dipukul, dan apa harus dilakukan ke atas sesetengah mereka, seperti disalib dan sebagainya.
Firman-firman Tuhan yang menjelaskan berbunyi,
"Apabila kamu
bertemu orang-orang yang tidak percaya, pukullah leher mereka," (47:4)
"Sesungguhnya balasan ke atas orang-orang
yang memerangi Allah dan rasul-Nya, dan yang berusaha di bumi untuk buat
kerosakan - mereka dibunuh, atau disalib, atau tangan-tangan mereka dan
kaki-kaki mereka dipotong berselang-seli, atau mereka dibuang daripada bumi."
(5:33)
Perbuatan menyalib, memotong tangan dan kaki, atau
membuang negeri ke atas manusia hanya dilakukan dalam peperangan.
Taktik
Berperang di jalan Allah diatur dalam
barisan-barisan, atau unit-unit, menurut ayat berbunyi,
"Allah suka
orang-orang yang berperang di jalan-Nya dalam barisan-barisan,
seakan-akan mereka sebuah bangunan yang padu" (61:4).
Orang paling tahu apa yang dimaksudkan itu adalah
anggota tentera. Biar mereka yang mengatur barisan, dan taktik bakal digunakan.
Satu lagi taktik ditunjukkan Allah ialah menghamburkan orang-orang yang berada
di belakang. Ia disebut di dalam ayat berbunyi,
"Maka, jika kamu
jumpa mereka di mana-mana dalam peperangan, hamburkanlah orang-orang
yang di belakang mereka, supaya mereka mengingati." (8:57)
Berundur semasa perang diizinkan Allah, iaitu dengan tujuan untuk berperang lagi, atau bergabung
dengan pasukan lain. Sebab lain untuk berundur akan menemui beban kemurkaan
Allah dan Jahanam sebagai tempat tinggal. Firman-Nya,
"Sesiapa yang memalingkan belakangnya pada hari itu kepada mereka,
kecuali berundur untuk berperang lagi, atau beralih untuk bergabung
dengan pasukan lain, dia dipenuhi beban kemurkaan Allah, dan tempat menginapnya
ialah Jahanam - satu kepulangan yang buruk!" (8:16)
Mereka lari kerana takut mati, dan akan diberi
hanya sedikit kesenangan hidup. Firman Tuhan,
"Katakanlah, 'Lari tidak manfaat kepada kamu, jika kamu lari daripada kematian
atau pembunuhan, jika demikian, tidaklah kamu diberi kesenangan hidup,
kecuali sedikit.'" (33:16)
Pertolongan
Pertolongan Allah tetap ada. Al-Qur'an beri tiga
contoh. Pertama, Dia bantu dengan seribu malaikat:
"Apabila kamu mohon kepada Pemelihara
kamu untuk pertolongan, dan Dia sahut kamu, 'Aku akan
bantu kamu dengan seribu malaikat yang datang di belakang
kamu.'" (8:9)
Kedua, Dia
lemparkan ketakutan yang amat sangat ke dalam hati musuh:
"Dan Dia turunkan orang-orang daripada ahli Kitab yang
menyokong mereka dari kubu-kubu mereka, dan lemparkan ketakutan yang amat
sangat ke dalam hati mereka; sebahagian kamu bunuh, sebahagian kamu tawan."
(33:26)
Dan ketiga, Dia jadikan pasukan
kelihatan dua kali lebih banyak:
"Telah pun ada satu
ayat bagi kamu pada dua golongan yang bertemu. Segolongan berperang di
jalan Allah, dan satu lagi tidak percaya. Mereka melihat mereka dua kali
sebanyak mereka, seperti mata melihat, tetapi Allah kukuhkan dengan
pertolongan-Nya siapa Dia kehendaki. Sesungguhnya pada yang demikian
itu adalah pelajaran bagi orang-orang empunya penglihatan." (3:13)
Dengan pertolongan Allah kemenangan pasti tercapai.
Dalam perang di jalan Allah, yang sebenarnya
membunuh dan membaling ialah Allah, sebagai satu kurniaan yang baik bagi
orang-orang mukmin. Firman-Nya,
"Kamu
tidak bunuh mereka tetapi Allah yang bunuh mereka; dan
apabila kamu membaling, bukanlah kamu yang membaling tetapi Allah yang
membaling, supaya Dia uji orang-orang mukmin dengan ujian yang baik;
sesungguhnya Allah Mendengar, Mengetahui." (8:17)
Tawanan
Sebahagian daripada musuh dibunuh, dan sebahagian lain jadi tawanan. Tawanan
dipunyai orang-orang yang pergi berperang. Nabi sendiri tidak dibenarkan
ambil tawanan jika tidak pergi berperang. Firman Tuhan,
"Tidak patut bagi seseorang Nabi untuk
mempunyai tawanan, sehingga dia membunuh beramai-ramai di
bumi, kerana kamu hendaki keuntungan dunia, dan Allah
hendaki akhirat; dan Allah Perkasa, Bijaksana." (8:67)
Azab yang besar disediakan jika ambil tawanan tanpa pergi
berperang. Firman-Nya,
"tentu telah menyentuh kamu, kerana apa
yang kamu ambil, satu azab yang besar." (8:68)
Tawanan tidak dizalimi.
Ada yang dibebaskan dan ada dijadikan tebusan, sehingga perang berhenti.
Firman-Nya,
"kemudian apabila kamu telah bunuh beramai-ramai di kalangan mereka,
kuatkanlah ikatan; kemudian bebaskan mereka, sama ada dengan budi baik atau
tebusan, sehingga perang meletakkan bebannya." (47:4)
Mereka didapati pula diberi makan oleh
orang-orang yang taat kepada Allah, seperti dinyatakan ayat
berbunyi,
"Mereka (orang-orang yang taat) memberi makan, kerana
mencintai-Nya, kepada orang miskin, dan anak yatim, dan
tawanan,
'Kami memberi makan kepada kamu hanya kerana
mengharapkan Wajah Allah; kami tidak hendaki balasan
daripada kamu, dan tidak juga kesyukuran,'" (76:8-9)
Selain tawanan, orang yang taat memberi makan kepada orang
miskin dan anak yatim, kerana mencintai-Nya, dan tidak
mengharapkan balasan mahupun ucap terima kasih.
Rampasan perang
Atau, tawanan diambil sebagai rampasan perang lalu
jadi tangan kanan miliki bagi orang-orang yang pergi berjuang.
Nabi sendiri telah mengambil dan jadikan antara mereka isterinya. Firman Tuhan,
"Wahai Nabi, Kami telah
halalkan untuk kamu isteri-isteri kamu yang kamu sudah beri upah
mereka, dan apa yang tangan kanan kamu miliki,
yang Allah beri kamu
(rampasan perang)," (33:50)
Selain daripada
hamba yang diperoleh daripada perang, harta benda, dan
bumi atau negeri musuh, ditambah jadi milik. Firman-Nya,
"Dan Dia mewariskan kamu bumi mereka, dan tempat tinggal
mereka, dan harta benda mereka, dan bumi yang belum kamu pijak. Allah adalah
berkuasa atas segala sesuatu." (33:27)
Sesungguhnya Allah berjanji banyak rampasan perang
untuk diambil, di samping Dia menahan tangan-tangan musuh, supaya
jadi bukti dan petunjuk kepada jalan lurus. Janji-Nya berbunyi,
"Allah janjikan kamu
rampasan perang yang banyak untuk diambil; ini Dia segerakan kepada kamu, dan
tahankan tangan-tangan manusia daripada kamu, dan supaya ia jadi satu ayat
bagi orang-orang mukmin, dan untuk beri petunjuk kepada kamu pada jalan
lurus," (48:20)
Rampasan perang adalah kepunyaan Allah
dan rasul, tetapi bukan semua, hanya 20 peratus, yang turut dibahagi dengan
pihak-pihak tertentu. Tiga ayat di bawah menjelaskan dengan lanjut:
"Mereka tanya kamu mengenai rampasan perang. Katakanlah, 'Rampasan perang adalah kepunyaan
Allah dan rasul;'" (8:1)
"Ketahuilah bahawa apa sahaja rampasan perang yang kamu ambil, satu per limanya kepunyaan Allah, dan
kepunyaan rasul, dan kepunyaan sanak saudara yang dekat, dan kepunyaan anak-anak
yatim, dan untuk orang-orang miskin, dan musafir, jika kamu percaya kepada Allah
dan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami pada Hari Pembeza, hari dua
kumpulan bertemu; dan Allah berkuasa atas segala sesuatu" (8:41)
"Segala apa
yang
Allah beri rasul-Nya (rampasan perang) daripada penduduk bandaraya-bandaraya adalah
kepunyaan Allah, dan rasul-Nya, dan sanak saudara yang dekat, dan anak-anak
yatim, dan orang-orang miskin, dan musafir, supaya ia jangan bergilir antara
orang-orang kaya antara kamu." (59:7)
Pembahagian
rampasan perang terletak di tangan rasul. Firman-Nya,
"Dan apa sahaja
yang Allah beri rasul-Nya (rampasan perang) daripada mereka, terhadap apa yang kamu
memacu yang bukan daripada kuda, dan bukan juga unta; tetapi Allah beri
kuasa kepada rasul-rasul-Nya terhadap sesiapa Dia kehendaki. Allah
berkuasa atas segala sesuatu." (59:6)
"Apa sahaja yang rasul beri kamu, ambillah; apa
sahaja yang dia melarang kamu daripadanya, hentikanlah. Dan takutilah Allah;
sesungguhnya Allah keras dalam pembalasan sewajarnya." (59:7)
Keuntungan dunia daripada berperang adalah
rampasan yang diambil. Segala yang diambil sebagai rampasan perang halal
dimakan - "Makanlah daripada apa yang kamu
ambil sebagai rampasan perang, yang halal, yang baik; dan kamu takutilah
Allah; sesungguhnya Allah Pengampun, Pengasih." (8:69)
Ganjaran
di akhirat
Orang-orang yang berperang di jalan Allah
sebenarnya menjual kehidupan dunia dengan akhirat. Sama ada mereka dibunuh atau
kalahkan musuh, upah yang besar menanti di akhirat. Firman-Nya,
"Maka hendaklah
mereka berperang di jalan Allah, yang menjual kehidupan dunia dengan
akhirat, dan sesiapa berperang di jalan Allah dan dibunuh, atau mereka
kalahkan, kelak Kami akan memberinya upah yang besar." (4:74)
Perang laksana jual beli. Diri orang-orang mukmin yang berperang serta harta
mereka dibeli oleh Allah dengan Taman. Itu janji Allah, melalui ayat bermaksud,
"Allah membeli
daripada orang-orang mukmin, diri-diri mereka dan harta-harta mereka, dengan
Taman; mereka berperang di jalan Allah, mereka membunuh dan mereka
dibunuh; itu ialah satu janji yang mengikat-Nya di dalam Taurat, dan Injil, dan
al-Qur'an; dan siapakah lebih tepati perjanjiannya daripada Allah? Maka
bergembiralah dengan jual beli kamu yang kamu memperjualbelikan dengan-Nya;
itulah kemenangan yang besar." (9:111)
Juga seperti
meminjamkan
kepada Allah satu pinjaman yang baik, kemudian digandakan-Nya dengan banyak. Firman-Nya,
"Maka berperanglah di jalan Allah, dan ketahuilah bahawa Allah Mendengar,
Mengetahui.Siapakah dia yang akan pinjamkan kepada Allah
satu pinjaman yang baik, dan Dia akan gandakan untuknya dengan banyak?" (2:244-245)
Ganjaran di akhirat ditambah
dengan kejahatan-kejahatan yang dilakukan dapat dilepaskan
dengan pergi berperang. Firman Allah,
"'Dan orang-orang yang berhijrah, dan diusir daripada tempat tinggal mereka,
dan mereka yang disakiti di jalan-Ku, dan berperang, dan dibunuh,
merekalah yang Aku pasti akan lepaskan daripada kejahatan-kejahatan mereka,
dan Aku akan masukkan mereka ke taman-taman yang di bawahnya mengalir
sungai-sungai'; satu ganjaran daripada Allah, dan Allah, di sisi-Nya sebaik-baik
ganjaran." (3:195)
Di samping itu, ampunan dan
pengasihan daripada Allah serta amalan yang dibuat tidak disesatkan atau dihilangkan,
diperoleh apabila seseorang terbunuh di medan peperangan. Firman-Nya,
"Jika
kamu terbunuh, atau mati di jalan Allah, ampunan dan pengasihan
daripada Allah adalah lebih baik daripada apa yang mereka
kumpulkan." (3:157)
"Dan orang-orang yang terbunuh di jalan Allah, Dia tidak akan sesatkan amalan-amalan
mereka." (47:4)
Sayugia diingatkan iaitu Allah hanya menyebut
terbunuh atau mati
di jalan Allah, bukan mati syahid seperti diajar sesetengah pihak
dalam Islam.
Mereka yang terbunuh di jalan Allah dikatakan tidak mati,
menurut ayat berbunyi,
"Janganlah
sangka bahawa orang-orang yang terbunuh di jalan Allah
sebagai sudah mati, tetapi hidup di sisi Pemelihara mereka, diberi rezeki
oleh-Nya." (3:169)
Larangan
Telah ditentukan Allah beberapa larangan ke atas
perang. Pertama, dilarang berperang dalam
bulan-bulan haram:
"Mereka tanya kamu mengenai bulan haram dan berperang
padanya. Katakanlah, 'Berperang padanya adalah sesuatu yang berat'"
(2:217)
"Kemudian, apabila bulan-bulan haram telah pergi, bunuhlah orang-orang
yang menyekutukan di mana sahaja kamu dapati mereka, dan ambillah mereka, dan
tahanlah mereka, dan tunggulah mereka di tiap-tiap tempat untuk memerangkap
mereka. Tetapi jika mereka bertaubat, dan jika mereka lakukan solat, dan
beri zakat, maka biarkanlah mereka pergi jalan mereka; sesungguhnya Allah
Pengampun, Pengasih." (9:5)
Kedua, dilarang berperang di Masjidil Haram:
"dan janganlah memerangi mereka di
Masjidil Haram sehingga mereka memerangi kamu di dalamnya.
Kemudian, jika mereka memerangi kamu, bunuhlah mereka. Itulah balasan ke
atas orang-orang yang tidak percaya." (2:191)
Ketiga, ke atas mereka yang tidak memerangi dalam agama, dan tidak mengusir daripada
tempat tinggal. Mereka bukan sahaja tidak diperangi malah boleh dijadikan sahabat, dan buat baik serta
berlaku adil kepada mereka. Firman-Nya,
"Allah
tidak melarang kamu terhadap orang-orang yang tidak memerangi kamu dalam
agama, dan tidak juga mengusir kamu daripada tempat
tinggal kamu, supaya kamu buat baik kepada mereka, dan berlaku adil
terhadap
mereka; sesungguhnya Allah suka orang yang adil." (60:8)
Terhadap mereka yang sebaliknya, dan menyokong
dalam pengusiran, Allah berpesan, "Dan
sesiapa yang jadikan mereka sebagai sahabat-sahabat, maka mereka itu,
merekalah orang-orang yang zalim." (60:9)
Dan akhir sekali, musuh yang pergi kepada satu kaum yang berhubungan
dalam perjanjian dengan kita, turut tidak diperangi. Lagi, mereka yang datang dengan rasa
berat untuk memerangi kita atau kaum mereka serta mengadakan
perdamaian. Firman-Nya,
"Kecuali orang-orang
yang pergi kepada satu kaum yang berhubungan dengan kamu dengan satu perjanjian,
atau datang kepada kamu dengan dada rasa sesak daripada memerangi
kamu, atau memerangi kaum mereka. Sekiranya Allah hendaki, tentu Dia
beri mereka kuasa terhadap kamu, kemudian pasti mereka akan memerangi
kamu. Jika mereka undur daripada kamu, dan tidak memerangi kamu, dan
lemparkan perdamaian kepada kamu, maka Allah tidak beri sebarang jalan
kepada kamu terhadap mereka." (4:90)
Jalan hanya ke atas mereka yang tidak berundur,
tidak menjulurkan perdamaian dan tidak menahan tangan-tangan mereka. Firman-Nya,
"Jika mereka tidak berundur daripada kamu, dan tidak
lemparkan perdamaian kepada kamu, dan tidak menahan tangan-tangan mereka, maka
ambillah mereka, dan bunuhlah mereka di mana sahaja kamu jumpa
mereka; terhadap mereka, kami beri kamu satu kuasa yang nyata." (4:91)
Allah beri satu kuasa yang nyata, kuasa
membunuh, terhadap mereka.
Perang memerlukan perbelanjaan.
Membelanjakan (nafkahkan) di jalan Allah dituntut. Orang-orang yang
membelanjakan dan pergi berperang sebelum kemenangan adalah lebih besar
darjatnya daripada orang-orang yang nafkahkan dan berperang sesudahnya. Firman
Tuhan,
"Mengapakah
kamu,
bahawa kamu tidak nafkahkan di jalan Allah, dan kepunyaan Allah warisan
langit
dan bumi? Tidaklah sama orang antara kamu yang nafkahkan, dan yang
berperang sebelum kemenangan; mereka itulah yang lebih besar darjatnya
daripada orang-orang yang nafkahkan dan berperang sesudahnya; dan
masing-masing Allah janjikan yang paling baik; dan Allah sedar apa kamu
buat." (57:10)
Jihad
Meskipun kelihatan serupa tetapi perang di jalan Allah dengan berjihad di jalan Allah
adalah dua perkara yang agak berlainan. Jihad tertumpu kepada Kitab al-Qur'an,
atau berjuang untuknya, dan tidak semestinya memegang senjata dan membunuh seperti dalam
peperangan. [Sila rujuk artikel
Jalan
Allah (Berjihad). Terima
kasih.]
Perang bererti bunuh-membunuh, rampas-merampas,
yang tidak disukai umum. Namun ia merupakan suatu yang baik apabila dilakukan di
jalan Allah serta tidak mencabuli segala yang ditetapkan-Nya. Kemenangan
dijanjikan kepada orang-orang yang takwa, atau yang takut kepada-Nya. Oleh itu
dapat disimpulkan mengapa orang Islam sudah lama tidak menemui kemenangan dalam
medan peperangan - sebab tidak takut kepada-Nya.